POLIS sedang menyiasat dakwaan seorang lelaki warga tempatan dipukul oleh individu dipercayai anggota polis di sebuah rumah di Kampung Sungai Ingat, Banting di Kuala Langat bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada 18 November lalu.
Menurut beliau, wanita berusia 39 tahun itu mendakwa menerima satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tiga minit yang memaparkan anaknya ditampar oleh individu memperkenalkan diri sebagai polis.
“Menurut laporan itu, anak pengadu ditampar beberapa kali dengan tujuan ingin mencari barang bukti. Bapa pengadu juga memaklumkan menyaksikan perkara itu berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sufian berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi sehingga mengganggu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya hadir di balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat 03-3187 2222 untuk membantu siasatan.


