Datuk Rugayah Abdul Majid dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon Wanita 2026 sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 (SHWA26) atas sumbangan besar beliau dalam memperkasa wanita luar bandar di Sarawak.
Rugayah yang aktif sejak 1963 memainkan peranan penting dalam memperjuangkan pembangunan wanita melalui penglibatannya dalam Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS).
Sepanjang penglibatannya, beliau melaksanakan pelbagai program pembangunan komuniti termasuk kelas pendidikan dewasa seperti kelas celik huruf dan pendidikan asas bagi meningkatkan tahap pendidikan wanita luar bandar.
Usaha tersebut membuka peluang mobiliti sosial kepada wanita selain membantu meningkatkan kadar celik huruf dalam kalangan masyarakat ketika itu.
Selain itu, Rugayah turut memperkenalkan program latihan kemahiran seperti menjahit, masakan, pengurusan rumah tangga serta keusahawanan bagi membantu wanita meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan sendiri.
Sumbangan beliau turut diiktiraf apabila menjadi wanita pertama dari Sarawak menerima Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) pada tahun 1985.
Pengiktirafan Ikon Wanita 2026 itu menjadi penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi Rugayah yang lebih enam dekad memperjuangkan pembangunan serta pemerkasaan wanita di negeri itu.


