POLIS sedang mengesan seorang wanita berusia 25 tahun yang dilaporkan hilang sejak 9 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan wanita itu jam 12.16 tengah hari.
Beliau berkata, wanita berkenaan dikenali sebagai Nur Dinie Sani Hasrul Sani.
“Wanita itu mempunyai ketinggian kira-kira 154 hingga 155 sentimeter dengan berat badan sekitar 48 hingga 49 kilogram serta berbadan kurus.
“Ketika kali terakhir dilihat, dia dipercayai memakai tudung hitam, blazer hitam dan seluar panjang berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, lokasi terakhir wanita terbabit adalah di A-15-05, Apartment Sri Cempaka, Jalan Sepakat Indah 2/1, Taman Sepakat, di sini.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai individu berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Khairul Azwan Yundis di talian 013-4480997,” katanya.


