LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2025 pada kadar 3.5 peratus, meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, kadar tersebut melibatkan jumlah agihan sebanyak RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit.
“Prestasi itu merupakan yang terbaik dalam tempoh lapan tahun sejak 2018, sekali gus mencerminkan keberkesanan strategi pelaburan serta pengurusan kewangan TH yang berdisiplin dan berdaya tahan,” katanya ketika sidang media pengumuman Agihan Keuntungan TH 2025 di Dewan Besar Lantai 1, Menara TH Tun Razak, hari ini.
Beliau berkata, sejak penubuhannya 62 tahun lalu, TH telah mengagihkan sejumlah RM49 bilion keuntungan secara kumulatif kepada para pendeposit.
“Sebagai institusi haji, TH juga telah membantu lebih 1.5 juta umat Islam Malaysia menunakan ibadah haji sejak penubuhannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli Hasan berkata, TH terus melaksanakan tanggungjawab menunaikan zakat sebanyak RM95.3 juta bagi pihak pendeposit kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri bagi tahun 2025.
“Sehingga kini, jumlah zakat yang telah dilunaskan oleh TH bagi pihak pendeposit mencecah RM1.57 bilion, sekali gus memperkukuh usaha membantu golongan asnaf,” ujarnya.
Mengulas prestasi kewangan, beliau berkata TH berjaya merekodkan pendapatan pelaburan tertinggi sebanyak RM4.64 bilion pada tahun 2025 berbanding RM4.56 bilion pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, kedudukan kewangan TH kekal kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion, melebihi liabiliti sebanyak RM95.63 bilion.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan agihan keuntungan tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun pendeposit bermula jam 10.00 pagi, 19 Mac ini.


