SEORANG pemuda maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4×4) dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 41, Jalan Batu Pahat – Mersing, 10.20 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, mangsa berusia 31 memandu kenderaan jenis Isuzu D-Max meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, sebuah lori jenis Daihatsu Delta dipandu lelaki warga tempatan berusia 31 tahun dalam perjalanan dari Bandar Kluang menghala UK Farm.
“Sampai di tempat kejadian, lori terbabit telah berhenti untuk masuk ke simpang kanan.
“Sebuah 4×4 yang dipandu mangsa berusia 31 tahun dalam perjalanan dari arah sama menghala ke Batu Pahat telah hilang kawalan dan langgar bahagian belakang sebelah kiri lori,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan itu katanya, pemandu 4×4 mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


