DUCATI Official Club Malaysia (DOCM) meraikan sambutan ulang tahun penubuhan ke-10 kelab itu serentak dengan penganjuran Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-9 dalam satu majlis gala berprestij yang diadakan di Sama-Sama Hotel di Sepang semalam.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sahot yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Presiden DOCM, Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin bersama barisan kepimpinan dan ahli DOCM dari seluruh negara.

Dalam ucapan perasmiannya, Shaharuddin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada DOCM atas kejayaan membina sebuah komuniti permotoran yang berdisiplin dan berprestij dengan lebih 1,800 ahli berdaftar sepanjang sedekad penubuhan.
Menurut beliau, DOCM bukan sekadar sebuah kelab motosikal, malah telah berkembang sebagai platform profesional yang memupuk disiplin, keselamatan, semangat kesukarelawanan serta imej positif Malaysia di peringkat global.
“Penglibatan aktif DOCM di peringkat antarabangsa, khususnya penyertaan dalam World Ducati Week (WDW) di Itali, telah membawa nama Malaysia ke mata dunia. DOCM juga merupakan antara kelab Ducati terbesar yang menghantar 100 delegasi dari Malaysia merentasi beberapa negara Eropah termasuk Itali, Switzerland, Jerman dan Austria,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, penglibatan ini secara tidak langsung menyokong usaha promosi pelancongan negara serta mengukuhkan jenama Tourism Malaysia melalui pendekatan motorcycle tourism yang semakin mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
Majlis ini turut mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan kelab permotoran berdaftar dalam memupuk budaya menunggang yang bertanggungjawab, mematuhi undang-undang serta menyumbang kepada keselamatan jalan raya dan keharmonian sosial.
Pada majlis yang sama, penghargaan turut diberikan kepada Ahli Jawatankuasa dan sukarelawan DOCM yang menjadi tulang belakang kejayaan kelab sepanjang 10 tahun penubuhannya, selain menyokong pelbagai program kebajikan, keselamatan dan aktiviti berimpak tinggi.
Kerajaan turut menggalakkan DOCM untuk terus meneroka penganjuran acara dan program bertaraf antarabangsa di Malaysia, yang bukan sahaja mengukuhkan ekosistem permotoran negara, malah berpotensi menarik kehadiran pelancong luar serta merancakkan industri pelancongan dan hospitaliti negara.
Sambutan ulang tahun ke-10 ini menandakan satu dekad kejayaan DOCM sebagai duta tidak rasmi Malaysia dalam arena permotoran dua roda di persada antarabangsa.


