HASIL semakan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beberapa dokumen berkaitan proses permohonan dan pendaftaran kewarganegaraan tujuh pemain warisan tiada sebarang asas kesalahan dikenalpasti.
Dalam kenyataannya, SPRM berkata, dokumen yang dibekalkan itu adalah hasil kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara.
“Berdasarkan semakan awal, SPRM ingin menegaskan bahawa isu ini dilihat sebagai berkaitan dengan proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM buat masa ini,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, SPRM memutuskan tidak akan berhubung dengan pihak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada pihak Persatuan Bolasepak Kebangsaan (FAM) untuk diselesaikan bersama badan bolasepak dunia tersebut.
SPRM juga menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berlangsung, dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan perbincangan antara pihak-pihak terlibat.
Kelmarin Fifa kmengumumkan FAM didenda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) kerana melanggar Artikel 22 kod tatatertib Fifa, yang berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain didenda 2,000 franc Swiss (RM11,000) setiap seorang, dan digantung selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.
Pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Sebelum itu, mereka beraksi dalam perlawanan kelayakan Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun, sempena Piala Asia 2027. Fifa menerima aduan mengenai kelayakan selepas perlawanan.
FAM dilaporkan akan merayu keputusan tersebut.



