Donald Trump dijangka tiba di Malaysia Ahad ini – Fahmi

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump dijadual tiba di Malaysia Ahad ini bagi menghadiri Sidang Kemucak ASEAN ke-47 yang diadakan di ibu negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata pengesahan kehadiran Presiden Amerika Syarikat itu telah dimaklumkan sewaktu Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas.

“Sah Donald Trump akan tiba di Malaysia pada 26 Okt dan sekiranya ada sebarang perubahan akan dimaklumkan oleh pihak Kementerian Luar,” katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Media Antarabangsa dan Pusat Penyiaran Antarabangsa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Fahmi bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perincian lawatan sulung Presiden Amerika Syarikat itu ke Kuala Lumpur sejak kembali menduduki Rumah Putih buat kali kedua pada November lepas.

Trump pada Isnin dilaporkan buat kali pertama berkata secara terbuka mengenai rancangan lawatan beliau ke Malaysia dalam masa terdekat, namun tidak menghuraikan lebih lanjut mengenainya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” akan berlangsung pada 26 hingga 28 Okt, dengan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.

Sementara itu Fahmi memaklumkan seramai 2,854 pengamal media daripada 290 agensi dalam dan luar negara telah mendaftar bagi liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Berkaitan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu ia antaranya merangkumi 648 wakil media rasmi Malaysia, 327 media tempatan dan 1,277 media antarabangsa telah disahkan mendaftar setakat 12.30 tengah hari tadi.

“Setakat ini, 34 negara termasuk Malaysia telah menghantar wakil media, agensi dan wartawan masing-masing,” katanya

Fahmi berkata antara negara yang menghantar bilangan wakil media tertinggi ialah Jepun iaitu seramai 314 pengamal media, Amerika Syarikat (181), Republik Korea (101) dan Filipina (68).

Mengenai persiapan dari aspek kemudahan liputan, Fahmi berkata 33 unit 5G-in-a-box disediakan di seluruh KLCC dengan enam unit ditempatkan khusus untuk kegunaan pengamal media di IMC bagi memastikan capaian Internet yang lebih pantas dan stabil.


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img