Dua graduan UPSI terima Anugerah Diraja, tekankan disiplin dan fokus akademik

DUA penerima Anugerah Pelajaran Diraja sempena Istiadat Konvokesyen ke-27 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nazatul Najwa Rossimy dan Permawathy Murugan, berkongsi rahsia kejayaan masing-masing yang berteraskan disiplin, pengurusan masa serta mengekalkan keutamaan akademik.

Nazatul Najwa, 23, berasal dari Pendang, Kedah, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) dengan Kepujian dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM).

Menurutnya, penglibatan dalam aktiviti pelajar tidak menjadi halangan untuk mencapai kecemerlangan, namun keutamaan akademik perlu sentiasa dijaga.

“Berorganisasi tidak salah, cumanya akademik kena jaga,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah prestij tersebut.

Nazatul berkata pengalaman mengimbangi organisasi dan akademik banyak mengajarnya tentang disiplin, selain sokongan ibu bapa dan rakan-rakan menjadi sumber kekuatan dalam menghadapi tekanan sepanjang pengajian.

Sementara itu, Permawathy Murugan, 25, berasal dari Pantai Remis, Perak, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia) dengan Kepujian dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE).

Permawathy menyifatkan disiplin ulang kaji secara konsisten sebagai faktor utama kejayaannya.

“Selepas habis kelas, saya akan buat ulang kaji selama dua jam. Tugasan atau ujian saya siapkan awal kerana saya tidak suka buat saat akhir,” katanya.

Permawathy berkata kaedah tersebut membantu meningkatkan kefahaman, memudahkan penyertaan dalam program universiti serta mengurus peranan kepimpinan dalam tugasan berkumpulan.

Mereka turut merakamkan penghargaan kepada UPSI, fakulti dan pensyarah yang membimbingnya, selain menyifatkan sokongan keluarga dan rakan-rakan sebagai dorongan yang menguatkan semangatnya untuk terus mengejar impian pada masa depan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img