HUJAN lebat serta angin kencang di Pulau Pinang hari ini mengakibatkan berlaku dua kejadian pokok tumbang di daerah Bayan Lepas dalam tempoh setengah jam.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Barat Daya menerima dua panggilan berhubung pokok tumbang namun kedua-dua kejadian itu tidak melibatkan kecederaan.
Pegawai Pasukan APM Daerah Barat Daya, Leftenan M (PA) Muhamad Fitri Kamis berkata, kejadian pertama diterima pada jam 12 tengah hari di Taman Pekaka, Sungai Dua.
Katanya, sebuah kereta jenis Proton Iriz yang diletakkan di tempat letak kenderaan taman perumahan itu mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang.
“Pasukan APM membantu memotong batang pokok menggunakan peralatan khas sebelum mengalih dan membersih lokasi.
“Pemeriksaan mendapati tiada mangsa dalam kereta berkenaan dan pemilik kenderaan yang tinggal di perumahan berhampiran turut dimaklumkan mengenai kejadian.
“Operasi berkenaan turut membabitkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan PDRM,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mengulas lanjut Muhamad Fitri berkata, panggilan kedua diterima APM Barat Daya pada jam 12.36 tengah hari membabitkan pokok tumbang yang menghempap bumbung dua rumah di Halaman Mayang, Bukit Gedung.
“Batang pokok itu dianggarkan berukuran diameter 50 sentimeter dan dipotong menggunakan peralatan khas.
“Operasi itu membabitkan seramai 10 anggota termasuk seorang pegawai,” katanya lagi.
Difahamkan ketika kejadian, kesemua penghuni yang berada di rumah berkenaan keluar menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi kuat menghempap bumbung rumah.



