POLIS menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes ragut yang menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita warga Sepanyol di Taman Midah, Cheras, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 17 Februari lalu kira-kira jam 1.59 petang.
Menurutnya, mangsa seorang wanita warga Sepanyol berusia lingkungan pertengahan 20-an mengalami kecederaan selepas diragut dalam kejadian tersebut.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras menjalankan operasi khas sebelum berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 28 tahun di sekitar Cheras pada 6 Mac lalu.
“Polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan suspek ketika melakukan jenayah berkenaan.
“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan tisu lembut pada anggota badan bahagian atas serta kaki kiri membabitkan lutut, bahu dan tangan kiri. Mangsa turut mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM2,000,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Rosdi berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 7 Mac hingga 13 Mac bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan” katanya.
Menurutnya, kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan pertuduhan dalam masa terdekat.


