DUA pegawai dan lima anggota polis ditahan kerana disyaki terlibat penyalahgunaan dadah di sebuah kedai di Mentakab awal pagi semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua anggota dan pegawai lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan pada jam 2.15 pagi.
“Saya mengesahkan tangkapan itu dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang pegawai dan lima anggota positif dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.
Menurut Yahaya, kesemua mereka kini ditahan reman hingga Sabtu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.
Menurutnya, polis tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan sekiranya didapati bersalah, penyelia mereka juga akan dikenakan tindakan.
Difahamkan, selain dua pegawai berpangkat inspektor dan lima anggota berpangkat koperal serta lans koperal itu, turut ditahan dua wanita Thailand dan seorang lelaki tempatan.


