Dua rentung, Proton Preve dinaiki terbakar dalam nahas dua kenderaan berhampiran stesen minyak

DUA rentung selepas kereta Proton Preve dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan berhampiran stesen minyak di Taman Tualang Indah, Temerloh tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.55 tengah malam itu, nahas membabitkan Proton Preve dinaiki mangsa dan sebuah Porsche Cayenne.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.57 tengah malam, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

“Proton Preve terbakar sepenuhnya menyebabkan dua mangsa ditemukan rentung dalam kenderaan itu.

“Porsche Cayenne tidak terbakar, namun pemandunya dipercayai melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, seorang penumpang lelaki dewasa yang berada dalam Porsche Cayenne mengalami kecederaan dan menerima rawatan daripada petugas kesihatan.

Beliau berkata, sembilan anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada tangki jentera sebelum api dipadamkan sepenuhnya.

“Anggota kemudian menggunakan peralatan hidraulik untuk memotong struktur kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian berkenaan dalam masa terdekat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img