DUA orang termasuk seorang wanita rentung selepas kereta dinaiki mereka melanggar pokok dan terbakar dalam kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Tanjung Balau di Kota Tinggi, awal pagi ini.
Dalam satu kenyataan, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Faizal Ahmad berkata, kedua-dua mereka dipercayai terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios.
Beliau berkata, pihak Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.48 pagi berikutan itu lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dihantar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kereta tersebut terbabas dan melanggar sebatang pokok lalu terbakar. Terdapat dua mangsa di dalam kereta berkenaan. Seorang mangsa ialah lelaki dewasa berusia 21 tahun, manakala seorang lagi wanita dewasa yang belum diketahui identitinya,” katanya.
Faizal berkata, kedua-dua mangsa terperangkap dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kebakaran tersebut.
‘’Kereta berkenaan terbakar 93 peratus dan pihak bomba bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan pam air dari jentera bomba. Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 6.11 pagi,’’ katanya.
UNDILAH |