Dua suspek kes bunuh larikan diri empat tahun ke Kemboja didakwa di mahkamah

DUA lelaki yang dipercayai melarikan diri ke Kemboja selama empat tahun didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki berusia 35 tahun pada 2022.

Lee Boon Xuan, 39, dan Siow Peir Sheng, 33, mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Roshayati Radellah.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa membunuh Yap Willy, ketika itu berusia 35 tahun, di hadapan sebuah kedai serbaneka di Kampung Baru, Bukit Mertajam kira-kira jam 7.45 malam pada 14 Mei 2022.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Badrul Amin Aziz manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam A Mahesh dari firma Mahesh & Co. Badrul Amin kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh untuk mendapatkan laporan kimia.

Majistret Roshayati menetapkan 22 Jun depan untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen, termasuk laporan kimia dan tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.

Di luar mahkamah, Mahesh memberitahu media, beliau dimaklumkan bahawa anak guamnya berada di luar negara sepanjang tempoh tersebut.

Bagaimanapun media difahamkan kedua-dua suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam selepas dipercayai melarikan diri ke Kemboja selama hampir empat tahun.

Sebelum ini dilaporkan bahawa seorang lelaki terbunuh selepas diserang sekumpulan lelaki berhampiran sebuah medan selera di Kampung Baru.

Mangsa berusia 35 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam selepas mengalami kecederaan parah pada leher, badan dan kedua-dua tangan, dipercayai akibat ditetak dengan parang.

Difahamkan mangsa telah pergi bersendirian untuk bertemu dengan suspek bagi membincangkan perkara peribadi yang melibatkan teman wanitanya, yang didakwa masih menjalinkan hubungan dengan salah seorang suspek.

Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba diserang dengan parang dan senjata lain sebelum rebah di tempat kejadian.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img