SYARIKAT peralatan sanitari Jepun, Toto Malaysia menyumbang sebanyak 12 unit Eco Washer kepada Hospital Pakar SALAM Senawang.
Sumbangan berupa peralatan tandas berteknologi mesra alam itu, diserahkan sendiri oleh Pengarah Urusan TMS, Katsuyuki Shibako kepada Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar SALAM Senawang, Dr Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi yang diadakan baru-baru ini.
Menurut Katsuyuki, sumbangan itu bertujuan mempromosikan kelestarian alam sekitar melalui teknologi tandas mesra alam yang dapat mengurangkan penggunaan bahan kimia, air dan tenaga.
“Ia juga menyokong usaha meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan dalam fasiliti kesihatan,” katanya.
Sementara itu, menurut Dr. Mohd Zaqrul Razmal berkongsi, pihak hospital berasa bangga menjadi penerima pertama Eco Washer daripada Toto Malaysia.
“Produk ini menyokong usaha kami untuk mewujudkan persekitaran hospital yang lebih bersih, selamat dan lestari,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua CSR Toto Malaysia, Norhayati Ab Hamid memberitahu bahawa inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap penjagaan alam sekitar.
“Kami percaya teknologi mesra alam seperti Eco Washer mampu memberikan manfaat yang bermakna kepada komuniti dan juga alam sekitar,” katanya.
Toto Malaysia merupakan sebuah syarikat dari Jepun yang menawarkan produk peralatan tandas yang mengutamakan teknologi penjimatan air, tenaga serta kemudahan kebersihan.
Ia mula ditubuhkan di Malaysia pada 1 September 1995 dengan fasiliti utama di Kawasan Perindustrian Senawang, Negeri Sembilan.
Syarikat induk antarabangsanya ialah Toto Ltd yang diasaskan pada 15 Mei 1917 dan kini mempunyai pelbagai anak syarikat di Asia khususnya dalam bidang peralatan sanitari.


