Elak anjing, pemandu e-hailing rempuh empat kereta dan sebuah rumah

SEORANG pemandu e-hailing ‘terpaksa’ merempuh empat kenderaan dan sebuah rumah selepas dipercayai cuba mengelak seekor anjing di kawasan perumahan di Taman Permas Jaya, Johor Bahru semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan yang berlaku pada jam 4.10 petang itu membabitkan empat kereta, sebuah motosikal dan sebuah rumah.

Menurutnya, kejadian membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Katanya, ketika kejadian, pemandu yang menggunakan kereta jenis Honda City itu dalam perjalanan dari Pasir Gudang menghala ke sebuah kawasan perumahan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu berkenaan cuba mengelak haiwan dipercayai anjing yang tiba-tiba melintas di laluan.

“Ia menyebabkan kenderaannya memasuki laluan bertentangan lalu melanggar sebuah motosikal, sebuah rumah dan tiga kereta yang diletakkan di hadapan rumah terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, pemandu e-hailing itu tidak mengalami kecederaan, manakala penunggang motosikal mengalami cedera ringan di beberapa bahagian badan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian ini diminta untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi balai trafik ibu pejabat polis daerah Johor Bahru Selatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Hafiz Jaafar di talian 017-5919208 bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihati sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian kemalangan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img