EMPAT buah kilang musnah dalam kebakaran besar yang berlaku di Taman Cheras Jaya, Balakong malam tadi namun setakat ini belum ada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.24 malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sejurus menerima laporan, sebuah jentera bersama pasukan dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan empat buah kilang dengan tahap kemusnahan yang berbeza,” katanya, lapor Astro Awani.
Ahmad Mukhlis berkata, salah sebuah kilang musnah sepenuhnya dengan tahap kerosakan mencecah 100 peratus, manakala tiga lagi kilang masing-masing mengalami kemusnahan sekitar 90 peratus, 80 peratus dan 50 peratus.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan aset jentera milik bomba selain bantuan unit dron yang digunakan bagi melakukan pemantauan udara di kawasan kebakaran.
“Penggunaan dron membantu pasukan bomba menilai keadaan kebakaran dari udara serta memantau pergerakan api bagi memastikan operasi pemadaman dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Tambah beliau, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya daripada terus merebak pada jam 10.18 malam.
Operasi pemadaman turut mendapat bantuan daripada beberapa balai bomba lain termasuk BBP Seri Kembangan, Kajang, Jalan Hang Tuah, Cheras, Bangi serta Petaling Jaya.
Turut terlibat katanya, Pasukan Bomba Sukarela Serdang serta Polis Diraja Malaysia bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian terkawal.


