Empat pelajar Tingkatan 5 direman enam hari bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah di sini pada minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata perintah tahanan reman terhadap semua suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana, bermula hari ini hingga 16 Oktober.
Beliau berkata, ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan.
“Kes itu masih dalam siasatan polis,” katanya ringkas dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.
Sebelum ini, media melaporkan kejadian rogol bergilir-gilir itu didakwa berlaku kira-kira jam 2.50 petang 2 Oktober lalu ketika mangsa berpatah balik ke kelas di tingkat tiga sekolah berkenaan untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.
Mangsa dikatakan diheret masuk ke dalam kelas sebelum dirogol dua suspek, manakala dua lagi rakan mereka menyaksikan dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit.
Kejadian itu terbongkar, petang semalam, selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video berkenaan daripada guru sekolah dan segera membuat laporan polis.



