Empat rumah, dua kereta musnah dalam kebakaran di Kepala Batas

EMPAT buah rumah dan dua buah kenderaan musnah dalam kebakaran yang mengakibatkan 21 penghuni hilang tempat tinggal di Permatang Kerai Besar, Kepala Batas awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, turut musnah adalah lima buah motosikal namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

SALAH sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran di Permatang Kerai Besar, Kepala Batas awal pagi ini. GAMBAR: JBPM Pulau Pinang

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kebakaran melibatkan empat unit rumah kelas B.

LIMA buah motosikal turut musnah dalam kebakaran di Permatang Kerai Besar, Kepala Batas awal pagi ini. GAMBAR: JBPM Pulau Pinang

Katanya, mangsa membabitkan seorang lelaki dan dua wanita dewasa di rumah pertama, dua lelaki dan tiga wanita di rumah kedua, tiga lelaki dan empat wanita di rumah ketiga serta empat lelaki dan dua wanita di rumah keempat.

“JBPM Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan pada jam 5.06 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.

“Operasi turut dibantu anggota dan pegawai BBP Butterworth, BBP Tasek Gelugor dan BBP Sungai Bakap dengan kekuatan keseluruhan 27 anggota termasuk penyelia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat unit rumah terlibat masing-masing berkeluasan 93 meter persegi dan anggaran kemusnahan sekitar 80 peratus bagi setiap rumah.

“Api merebak dengan cepat ke rumah bersebelahan disebabkan jarak antara kediaman yang berdekatan.

“Rumah kedua turut membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Exora dan Ford Ranger yang masing-masing dianggarkan musnah 90 peratus, manakala rumah keempat membabitkan lima motosikal dengan anggaran kemusnahan keseluruhan 90 peratus,” katanya.

Menurut beliau, pasukan bomba melaksanakan size up dengan pemakaian peralatan perlindungan diri lengkap serta mengaplikasikan konsep RECEO.

“Kaedah pemadaman dijalankan secara defensive dan offensive selain membuat fire break bagi mengelakkan kebakaran terus merebak. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6 pagi dan dipadam sepenuhnya pada jam 6.56 pagi.

“Kerja-kerja overhaul kemudian dijalankan sebelum lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, tekanan air yang rendah di lokasi kejadian turut menjadi antara cabaran sepanjang operasi pemadaman.

“Turut membantu di lokasi adalah Polis Diraja Malaysia. Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang serta beberapa pasukan bomba sukarela (PBS) dari Sungai Puyu, Bagan Ajam, Kepala Batas dan Pematang Tinggi.

“Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) JBPM turut memberikan khidmat nasihat serta mengambil maklumat pemilik rumah bagi membantu dan memudah cara urusan selanjutnya mengikut keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.32 pagi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img