EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim diperkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Isnin ini berkenaan isu penternakan babi di Kuala Langat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata, Izham akan menyembah maklum dan membentangkan perincian keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kepada baginda.
Berikutan kenyataan penuh Amirudin:
Kerajaan Negeri menjunjung kasih atas keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang dizahirkan melalui Kenyataan Media Baginda bertarikh 10 Januari 2026 berkenaan isu penternakan babi di Kuala Langat.
Sebagai latar belakang utama isu yang berlegar, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) terdahulu telah mengambil keputusan supaya syarat pengoperasian industri penternakan babi di Negeri Selangor diperketatkan berasaskan keutamaan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab supaya tidak memberikan kesan negatif terhadap sistem saliran.
Keputusan ini diambil setelah mengambilkira kesemua aspek termasuk pandangan agensi teknikal bagi memuktamadkan isu yang berlarutan setelah belasan tahun.
Di samping menjaga sensitiviti masyarakat, inisiatif ini amat penting untuk memelihara keadaan kesihatan komuniti, alam sekitar dan sistem saliran serta mengelakkan pencemaran bau supaya industri ini dapat beroperasi secara lebih selamat tanpa memberi kesan sampingan.
Sebagaimana diperincikan oleh YB Dato’ Ir. Izham hashim, EXCO Infrastruktur Pertanian Negeri Selangor melalui sidang media beliau pada 8 Januari 2026 yang lepas, langkah ini merupakan inisiatif yang lebih tersusun dalam rangka usaha memastikan isu sensitif ini ditangani secara berhemah, menyeluruh, serta berkesan dalam menangani isu alam sekitar, di samping mengimbangi keperluan komuniti, memperketat aspek kawalan ke arah penyelesaian jangka sederhana dan panjang yang lebih sistematik.
Sebagai makluman, EXCO Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor telahpun diperkenan menghadap pada hari Isnin 12 Januari 2026 bagi tujuan menyembah maklum dan membentangkan perincian keputusan MMKN ke bawah duli Tuanku Sultan termasuk langkah proaktif oleh agensi-agensi penguatkuasaan agar keselamatan dan kebersihan persekitaran dapat diperkukuhkan tanpa sebarang kompromi.
Mewakili Kerajaan Negeri menjunjung tinggi kecaknaan, nasihat serta pedoman Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan mendoakan Tuanku terus dikurniakan kesejahteraan dan keafiatan untuk terus membimbing dan menaungi Negeri ini dengan penuh hikmah.


