ADAKAH Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu menambah beban jika tidak berjaya di peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) nanti?
Persoalannya ini berbangkit apabila di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata ketika ini FIFA melalui jawatankuasa rayuan memutuskan untuk mengekalkan keputusan asal iaitu mengenakan denda RM1.8 juta kepada FAM.
Beliau berkata, CAS boleh menyarankan kepada FIFA untuk meningkatkan denda dan penggantungan jika FAM tidak berjaya di peringkat CAS.

“Selepas itu, jika FAM kalah di CAS, FIFA tribunal akan bermesyuarat untuk mengambil keputusan berhubung status tujuh pemain berkenaan sama ada boleh bermain untuk Malaysia atau tidak.
“Keputusan itu boleh dirayu oleh FAM ke CAS sekali lagi, selepas itu ia akan dipanjangkan ke AFC untuk tindakan selanjutnya dalam konteks perlawanan kelayakan Piala Asia.
“Jika keputusan berhubung pemain itu tidak berubah, Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pula akan mengambil keputusan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa bagi KBS di Dewan Rakyat.
Hannah, berkata AFC sudah maklumkan kepada FIFA untuk membuat keputusan sebelum 31 Mac 2026 iaitu tarikh akhir perlawanan kelayakan Piala Asia.
“Jika FAM masih kalah di peringkat CAS, mengikut peraturan sedia ada di AFC, keputusan perlawanan akan dikira terbatal dan pasukan lawan akan diberikan tiga mata dan tiga gol,” tambahnya.
Malah, katanya Jawatankuasa AFC berhak jatuhkan hukuman lain selain daripada potongan mata.
Sememangnya Hannah membuat pendirian yang tepat apabila menyatakan terpulang kepada FAM untuk merayu, dan mereka ada peguam sendiri yang boleh memberi nasihat guaman.
“Saya tidak boleh nafikan hak mereka untuk (merayu) ke CAS. Tetapi FAM kena bersedia jika CAS tidak memihak kepada mereka, kemungkinan besar hukuman itu boleh dipertingkatkan. Yang itu, FAM kena buat pengiraan sendiri,” katanya.
Ketika ini seperti mana kata Hannah, FIFA turut mengekalkan hukuman terhadap tujuh pemain termasuk penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak serta denda RM10,500 bagi setiap pemain.
“FAM bagaimanapun mengesahkan akan membawa kes itu ke CAS… sekarang ini ada dua proses yang sedang berlangsung. Pertama, skop siasatan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.
“Skop siasatan Tun Raus adalah untuk meneliti prosedur dalaman dan prosedur operasi standard FAM dalam pengurusan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya yang digantung selama 12 bulan.
“Tujuannya adalah bagi memastikan kegagalan seperti ini tidak berlaku lagi. Ia juga selari dengan perenggan 246 Laporan Jawatankuasa Rayuan FIFA,” kata
Hannah, berkata laporan dan hasil siasatan oleh Raus adalah sangat penting untuk disiapkan secepat mungkin.
“Saya sudah meminta Pesuruhjaya Sukan untuk meneliti dan memberikan kerjasama bagi mengambill tindakan terhadap sebarang penemuan untuk pastikan ia tidak berulang lag,” katanya.
Sepatutnya FAM memperbaiki sahaja kesilapan yang telah berlaku kerana FIFA sudah pasti tidak akan bertindak tanpa bukti kukuh. Laporan bertulis 64 muka surat yang didedahkan baru-baru ini cukup memalukan, justeru FAM jangan menambah derita yang sudah ada!
Terima sahaja hukuman FIFA tersebut dan tunggu sahaja hasil siasatan Raus, berapa kali lagi FAM mahu dimalukan? Kini terserahlah kepada FAM namun mereka sepatutnya berhati-hati dalam tindakannya bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah buruk.



