Festival tari ASWARA kembali selepas enam tahun, perkasakan kerjasama budaya rantau ASEAN

FESTIVAL Festival Tari Antarabangsa anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) kembali dianjurkan tahun ini selepas enam tahun tertangguh, sekaligus menghidupkan semula jaringan seni tari rakyat di rantau ASEAN.

Rektor AWSARA, Prof. Dr. Tan Awang Besar berkata, penganjuran terakhir berlangsung pada 2019 dan sepatutnya diteruskan mengikut kitaran dua tahun, namun pandemik COVID-19 menyebabkan perancangan itu terhenti.

Prof. Dr. Tan Awang Besar

“Selepas 2019, sepatutnya dua tahun kemudian kita anjur semula. Tetapi 2020 berlaku COVID dan peruntukan juga tidak ada pada ketika itu. Tahun ini barulah kita menerima sedikit peruntukan untuk melaksanakan festival  semula,” katanya kepada utusanmelayuplus.

Dr.Tan berkata, penganjuran kali ini yang diadakan pada 20 November hingga 23 November lalu lebih bermakna kerana berlangsung seiring dengan Pengerusian ASEAN oleh Malaysia, yang memberi nilai simbolik kepada usaha merapatkan kembali hubungan budaya serantau.

Katanya, festival edisi 2025 turut mencatat sejarah apabila ahli baharu ASEAN, Timor-Leste, menyertai acara berkenaan buat kali pertama.

“Ini kali pertama Timor-Leste mempersembahkan tarian rakyat mereka. Semua pihak teruja menyambut kehadiran ahli baharu ASEAN ini,” katanya.

Prof. Dr. Tan Awang Besar (dua dari kiri) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot (tengah) pada Festival Tari’25.

Pembukaan festival turut menampilkan persembahan tarian rakyat Sabah dan Sarawak yang masih mengekalkan keaslian warisan tempatan.

“Selain persembahan tarian, festival itu turut merangkumi seminar, masterclass dan sesi pembentangan berkaitan hala tuju seni dan budaya ASEAN.

“Institusi seni tempatan serta universiti awam dan swasta turut terlibat, termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta beberapa institusi luar negara dari China, Indonesia, Thailand dan lain-lain.

Mengulas mengenai cabaran penganjuran, beliau mengakui ASWARA bukan institusi yang kerap menganjurkan program berskala besar.

“Kami bukan selalu menganjurkan program besar, tetapi kami mampu laksanakan dengan jawatankuasa pelaksana yang dibentuk. Kami memaksimakan peruntukan untuk memastikan penyertaan luar mendapat pengalaman terbaik,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa ramai pelajar ASWARA terlibat sebagai tenaga kerja belakang tabir, sekali gus menjadikan festival itu sebagai medan pembelajaran praktikal.

Dr. Tan berkata, kejayaan penganjuran tahun ini membuka laluan kepada beberapa festival besar lain pada 2026, termasuk Pentas Tari Nasional, Pesta Teater Nusantara, Festival Muzik Antarabangsa ASWARA  dan Festival Filem ASWARA.

“Ini satu permulaan. Enam tahun itu terlalu lama. Dengan penganjuran semula tahun ini, kita mahu bangunkan semula tradisi itu dan menjadikannya lebih besar dua tahun dari sekarang,” katanya.

Festival itu dianggap simbol kebangkitan semula seni tari rakyat serta pemerkasaan kerjasama budaya di rantau ASEAN.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img