DATUK Seri Shamsul Iskandar Mohd Yakin yang membuat laporan polis ke atas ahli perniagaan Albert Tai di Balai Polis Sandakan hari ini menyifatkan ada usaha terancang untuk memburukkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik.
Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu berkata, laporan polis tersebut dilakukan berikutan tindakan Tei yang membuat tohmahan dan fitnah kononnya ada arahan daripada Anwar untuk membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.

‘’ fitnah ini jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej PM dan usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen pilihanraya Sabah.
‘’Saya tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama saya atau jawatan saya sebelum ini untuk cuba menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri,’’ katanya dalam kenyataan di facebook beliau selepas membuat laporan polis tersebut.
Shamsul Iskandar yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan siasatan segera.
‘’Saya sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk SPRM,’’ katanya.
Isu melibatkan Shamsul Iskandar bermula apabila Anwar memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau telah memberi amaran keras kepada Shamsul Iskandar berkaitan surat sokongan berhubung satu projek di sebuah hospital di Johor.
Bagaimanapun bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menganggap amaran Anwar tidak mencukupi sebaliknya menegaskan, Perdana Menteri sepatutnya memecat Shamsul Iskandar.
Semalam, bekas Ahli Parlimen Hang Tuan Jaya itu bertindak meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri dengan mendakwa wujud percubaan menyerang beliau dengan perkara yang boleh menjejaskan imej kerajaan MADANI.
Beberapa jam selepas Shamsul Iskandar mengumumkan peletakan jawatan itu, portal berita Malaysiakini melalui laporan eksklusifnya memaparkan dakwaan Albert Tei bahawa beliau pernah memberi lebih RM600,000 kepada Shamsul Iskandar.
Hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan memanggil Shamsul Iskandar dan Albert Tei untuk diambil keterangan terhadap dakwaan oleh ahli perniaagan tersebut.


