SUARA AWANG SELAMAT
KETIKA aktivis Global Sumud Flotillah (GSF) bergerak menghampiri Gaza, Awang sanggup bersengkang mata, tak tidur semalaman sebab nak tengok perkembangan mereka dari semasa ke semasa. Doakan mereka berjaya. Apabila satu demi satu kena tahan dek pengganas Zionis, Awang rasa sebak.
Bila tengok video dalam akaun X GSF macam mana tentera Israel serbu kapal-kapal tu Awang betul-betul geram, sedih sambil berdoa kepada Allah SWT supaya mereka dilindungi. Hasbunallah wa ni’mal wakil (Cukuplah Allah menjadi penolong kami, dan Dia adalah sebaik-baiknya pelindung) – tak putus-putus keluar dari mulut Awang.
Awang tahu bila dia orang kena tangkap sahaja, tiada siapa lagi dapat tolong mereka masa tu selain Allah SWT. Dalam itu ada kawan Awang…tak payahlah Awang sebut nama nanti ada yang kata Awang nak tumpang populariti pulak. Cuma Awang boleh cakap individu tu sama-sama dengan Awang kat akhbar Utusan Malaysia dulu.
Kalaupun bukan kawan Awang ada kat dalam tu, walaupun Awang hanya kenal nama mereka sahaja tetapi Awang tetap akan doa sebab mereka sedang berjihad. Memang Awang dulu pernah buat liputan perang kat Somalia, Iraq, Bosnia Herzegovina dan beberapa negara konflik lain.. tetapi kalau suruh Awang pergi sertai flotilla tu belum tentu Awang terima.
Awang pernah sampai Gaza ikut lawatan Perdana Menteri tapi masa tu bukan masa perang dan negara-negara yang Awang sebut tu bukan ada puak Zionis atau pemimpin macam ‘bapak pengganas’ Benjamin Netanyahu.
Aktivis GSF sanggup gadaikan nyawa, ni masa perang, mereka tahu risiko yang menanti, mereka faham bahaya yang menunggu tetapi demi perjuangan suci mereka bersedia hadapi apa sahaja. Pengorbanan mereka cukup besar, mereka tinggalkan segala keselesaan hidup di Malaysia, mereka tinggalkan suami, isteri, ibu,bapa, anak semata-mata niat ikhlas mahu membela saudara-saudara kita di Gaza.
Bayangkan awal-awal lagi mereka dah buat video rakam kata-kata terakhir sebelum ditangkap Israel. Maknanya mereka dah tahu risiko amat tinggi, apatah lagi sebelum ini semua misi flotilla mahu masuk Gaza dipintas puak Zionis.
Jadi yang tak pergi ke sana, yang hidup selesa di tanahair, kalaupun tak mahu pergi ke sana, kalaupun tak nak menyumbang, kalau pun tak mahu berdoa biarpun lepas solat Jumaat lalu ada solat hajat untuk GSF….duduk la diam-diam..tak payah memberi komen atau ulasan yang rasa nampak bijak tetapi sebenarnya jahil.
Awang percaya geng-geng GSF yang ditahan oleh puak pengganas Zionis pun tak kisah sebab mereka tahu jutaan lagi rakyat Malaysia yang akan mendoakan mereka. Awang tak mahu sentuh yang puak jahil tu komen dalam media sosial…buang masa sahaja.
Lagipun Awang dah biasa dah, tengok puak-puak macam tu..,yang tak ada kerja…gatal tangan nak komen kat media sosial… anggap sajalah mereka yang komen-komen aneh tu ‘kurang ilmu’ tapi nak tunjuk hebat…kalau mereka ikut perkembangan dari semasa ke semasa…laporan langsung daripada aktivis-aktivis GSF..mereka tak akan komen bukan-bukan tetapi manusia biasalah sesetengahnya seronok ‘kena maki’ dalam media sosial..
Awang percaya apapun komen mereka, ia tak akan melunturkan semangat pejuang-pejuang kita yang kini sedang berada dalam tahanan rejim Israel. Disebabkan semangat kental itulah Perdana Menteri cakap malam tadi ada yang tak mahu balik dan usaha memujuk sedang dilakukan.
Akhirnya sekali Awang nak cakap, bukan sebarangan orang boleh buat apa yang dilakukan oleh pejuang-pejuang GSF. Mereka terpilih ke sana dengan kehendak Allah SWT, ada antara mereka terpaksa membatalkan perjalanan di atas ketentuan Allah SWT, mereka ditahan oleh pengganas pula adalah ujian daripada Allah SWT dan Insha-Allah Allah SWT juga akan melindungi mereka….jadi siapakah kita yang hendak menilai perjuangan mereka dengan pandangan entah apa-apa.
Awang – tak rajin buat dosa kering