Fokus projek kecil rakyat, prestasi kementerian perlu dipertingkat – Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengakui masih terdapat beberapa kementerian yang belum memenuhi jangkaan kerajaan dalam melaksanakan projek, meskipun prestasi keseluruhan menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Perdana Menteri berkata, perkara itu melibatkan segelintir kecil pihak dan tidak seharusnya mencerminkan keupayaan keseluruhan kementerian atau pasukan keselamatan negara.

“Ketua Setiausaha Negara (KSN) semalam menyatakan beberapa kementerian belum memenuhi harapan kita dalam pelaksanaan projek. Walaupun prestasi keseluruhan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini, saya harus akui ia melibatkan segelintir kecil, sama seperti isu rasuah,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah bin Zaid di Wangsa Maju hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan menghargai sepenuhnya pengorbanan dan profesionalisme anggota pasukan keselamatan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya mahu rakan-rakan saya dalam pasukan keselamatan, tentera dan polis merasakan bahawa mereka keseluruhannya berwibawa, cekap dan banyak berkorban. Jangan ada pandangan serong terhadap kementerian atau pasukan secara keseluruhan,” katanya.

Tegas beliau, tindakan hanya akan diambil terhadap pegawai tertentu yang terlibat, sama ada berkaitan isu prestasi atau salah laku, tanpa menjejaskan imej institusi.

“Apabila kita menegur atau menggesa prestasi diperbaiki, itu tidak bermakna keseluruhannya gagal. Kita ambil tindakan kepada individu yang terlibat sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keutamaan kerajaan ketika ini adalah mempercepat pelaksanaan projek-projek kecil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Beberapa tindakan perlu disegerakan, terutama projek-projek kecil untuk rakyat. Saya sendiri di Wangsa Maju berbincang dengan Ahli Parlimen dan pimpinan masyarakat mengenai keperluan segera, bukan tertumpu kepada projek besar semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan peruntukan kerajaan benar-benar memberi keringanan dan kesan langsung kepada kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita mahu projek-projek yang terus membantu rakyat, yang memberi keringanan segera kepada mereka,” ujarnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img