INSTITUT Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) diiktiraf secara rasmi sebagai organisasi carbon-negative, sekali gus membuktikan peranannya yang signifikan dalam usaha menangani perubahan iklim dan memelihara kualiti udara negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pengiktirafan tersebut disokong oleh data pemantauan yang menunjukkan hutan FRIM berjaya menyerap sebanyak 11,447 tan karbon dioksida (CO2), jauh melebihi jumlah pelepasan sebanyak 6,035 tan CO2 hasil aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan institut itu.

Menurut beliau, pencapaian berkenaan telah disahkan oleh BSI Malaysia berdasarkan piawaian antarabangsa ISO 14064, sekali gus memperkukuhkan kredibiliti FRIM dalam pengurusan karbon di peringkat nasional.
“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan FRIM dalam menyokong agenda kelestarian negara serta memperkukuh peranan sektor perhutanan dalam mitigasi perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam perkembangan sama, Arthur turut melancarkan dua platform digital utama di Perpustakaan FRIM bagi memperluas akses kepada bahan penyelidikan.
Platform FRIM Research Depository (FRED) menyediakan kemudahan carian yang merangkumi lebih 74,000 judul, termasuk kira-kira 15,000 bahan digital seperti tesis, buku, jurnal dan peta. Sementara itu, FRIM Digital Shop pula memudahkan orang ramai serta penyelidik mendapatkan penerbitan FRIM sama ada dalam bentuk bercetak atau digital secara dalam talian.
Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif pendigitalan ini selari dengan usaha memperkasa ekosistem penyelidikan negara serta meningkatkan capaian maklumat kepada masyarakat.
Dalam rangka lawatan kerja tersebut, beliau turut meninjau tarikan ekopelancongan popular, Forest Skywalk FRIM, selain menyempurnakan simbolik penanaman pokok Merbau (Intsia palembanica), yang merupakan Pokok Kebangsaan Malaysia.
Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Ismail Parlan, bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian dan institut berkenaan.


