SEORANG gadis berusia 16 tahun dipercayai dirogol oleh kenalan lelaki yang baru dikenalinya di Maran.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, polis menerima laporan daripada ibu mangsa dan berdasarkan laporan tersebut kejadian berlaku pada awal Mac di sebuah rumah ketika mangsa keluar bersama suspek.
“Mangsa memaklumkan telah dirogol oleh kenalan lelakinya di dalam bilik rumah terbabit sebelum menceritakan perkara itu kepada ibunya,” katanya.
Beliau berkata, susulan itu pada Jumaat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran telah menahan suspek untuk siasatan lanjut.
Katanya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi mengumpul keterangan kes terbabit.
Kim Wai berkata, siasatan masih dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Maran di talian 09-4771222 bagi membantu siasatan.


