TABIAT pelik seorang penuntut lelaki menunjukkan aksi tidak senonoh terhadap tiga wanita sedang berjoging mengundang padah apabila ditahan dan direman di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.
Suspek berusia 24 tahun ditahan semalam sebelum Majistret Nurasidah A Rahman mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut 377D Kanun Keseksaan.
Berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku pada pukul 8 pagi, 26 Januari lalu dengan salah seorang mangsa adalah suri rumah berusia 34 tahun, lapor Buletin TV3.
Ketika kejadian mangsa bersama dua lagi rakannya sedang berjoging di Jalan Parit Sempadan Laut, Parit Raja, sebelum terdengar bunyi sesuatu dari semak berhampiran.
Mangsa kemudian ternampak kelibat lelaki tidak dikenali di tepi semak dalam keadaan tidak berpakaian.
Tidak terhenti di situ sahaja, malah suspek mengekori mangsa dan rakannya menyebabkan ketakutan lalu melarikan diri.
Ketika itu, mangsa turut menjerit meminta pertolongan penduduk berdekatan dan suspek bertindak lari ke dalam semak lalu memakai semula pakaiannya.
Suspek berjalan ke arah kereta yang diparkir tidak jauh dari situ sebelum beredar dan mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek kerana disyaki dia individu terbabit melakukan aksi tidak senonoh itu.
Mangsa turut mengecam suspek berdasarkan fizikal yang dilihat pada hari kejadian.
Malah, suspek turut memberi alasan kononnya dia ke situ untuk memancing sedangkan lokasi terbabit adalah semak dan bukannya kawasan berpaya.
Soal siasat ke atas suspek mendapati dia mengaku melakukan perbuatan itu untuk kali ketiga sebelum ini.


