Garisan kuning jadi alasan tentera Israel bunuh rakyat Palestin guna dron

Tentera Israel bagaikan ‘kehausan darah’ rakyat Palestin apabila sanggup melanggar gencatan senjata bagi memenuhi ‘ketagihan’ mereka.

Hari ini, enam rakyat Palestin terbunuh manakala beberapa yang lain cedera akibat serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza – pelanggaran pertama terhadap gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Jumaat lalu.

Menurut Al Jazeera Arabic, sumber di Hospital Al-Ma’amadani berkata lima rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan dron Israel yang melepaskan tembakan ke arah penduduk yang sedang memeriksa rumah mereka di kejiranan Shejaiya, timur Bandar Gaza.

Tentera Israel dalam satu kenyataan mendakwa mereka melepaskan tembakan bagi “menghapuskan ancaman” selepas mengesan “individu mencurigakan” cuba menyeberangi “garisan kuning”  kawasan yang ditinggalkan tentera sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata. Laporan itu menyebut bahawa tentera mendakwa mereka terlebih dahulu melepaskan tembakan amaran.

Di selatan Gaza, sumber Palestin melaporkan bahawa seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat tembakan Israel di bandar Al-Fakhari, timur Khan Yunis.

Dalam masa yang sama, Kompleks Perubatan Nasser melaporkan dua rakyat Palestin cedera akibat tembakan tentera Israel di Khan Yunis.

Laporan itu menyatakan bahawa kereta kebal Israel melepaskan tembakan secara intensif ke arah penduduk di barat laut Rafah. Sumber Palestin juga melaporkan tembakan dari kenderaan dan dron Israel di kawasan Shakosh, utara Rafah.

Di utara Gaza, Al Jazeera Arabic memetik sumber dari jabatan ambulans dan kecemasan yang melaporkan beberapa penduduk cedera akibat tembakan tentera Israel di kawasan Halawa, Jabalia al-Balad.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem, mengecam pembunuhan itu sebagai pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata.

“Pembunuhan yang dilakukan oleh tentera Zionis terhadap beberapa penduduk Gaza hari ini melalui pengeboman dan tembakan merupakan pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata,” kata Qassem dalam satu kenyataan.

“Kami sekali lagi menyeru semua pihak agar memantau tindakan penceroboh dan tidak membiarkannya mengingkari komitmen yang dibuat di hadapan para pengantara mengenai penamatan perang di Gaza,” katanya.

Pelapor Khas PBB bagi wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, turut mengecam serangan itu dan menegaskan bahawa Israel “harus dikenakan sekatan” sehingga “setiap jenayah diadili”.

“Sekali lagi: Gencatan senjata menurut Israel bermaksud ‘kamu berhenti, saya menyerang’. Menyebutnya sebagai ‘perdamaian’ adalah satu penghinaan dan gangguan,” tulisnya di platform X.

“Seluruh dunia harus memberi tumpuan kepada Palestin: Israel mesti dihadapkan ke muka keadilan — melalui sekatan, pengeluaran pelaburan, dan boikot — sehingga penjajahan, apartheid dan pembunuhan beramai-ramai berakhir dan setiap jenayah dipertanggungjawabkan,” tegasnya.

Sementara itu, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Muhammad Basal, berkata pada Selasa bahawa lebih 250 mayat rakyat Palestin telah ditemui sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

Beliau berkata sebahagian mayat ditemui di jalanan, dan menambah bahawa lebih 10,000 orang masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan ketenteraan Israel selama dua tahun ke atas Gaza.

Basal menjelaskan bahawa pihaknya berdepan kekurangan peralatan berat untuk mengalihkan runtuhan, dan amaran bahawa sisa bahan letupan serta serpihan perang menimbulkan ancaman besar kepada keselamatan penduduk Gaza.

Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terdapat sekurang-kurangnya 55 juta tan runtuhan di seluruh Gaza.

Kementerian Kesihatan Gaza semalam mengumumkan bahawa jumlah korban sejak 7 Oktober 2023 telah meningkat kepada 67,869 orang maut, manakala 170,105 lagi cedera.

Minggu lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjata untuk Gaza, yang merangkumi pembebasan semua tebusan Israel sebagai pertukaran bagi tahanan Palestin, serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari seluruh Gaza. Fasa pertama itu mula berkuat kuasa pada Jumaat.

Fasa kedua pelan tersebut menyeru kepada pembentukan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza, penubuhan pasukan multinasional, dan pelucutan senjata Hamas.

 


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4496″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img