Gelombang Haba dijangka berlarutan hingga Jun, suhu boleh cecah 37 hingga 38 darjah celcius

GELOMBANG haba yang sedang melanda negara dijangka berlarutan hingga Jun ini, dengan suhu diramalkan mencapai kemuncaknya antara pertengahan Mac dan pertengahan April.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Hisham Anip, berkata suhu boleh mencecah 37 hingga 38 darjah Celsius, khasnya di negeri utara Semenanjung.

Beliau berkata, gelombang haba ialah fenomena lazim pada akhir monsun timur laut kerana litupan awan berkurangan dan kedudukan matahari berada tepat di atas rantau ini.

“Tetapi, MetMalaysia menjangkakan jumlah hujan akan meningkat bermula hujung minggu ini susulan corak tiupan angin semakin lemah. Ini menandakan permulaan fasa peralihan monsun yang dijangka bermula minggu depan, walaupun suhu kekal tinggi,” katanya lapor The New Straits Times.

Hisham berkata, wilayah utara mengalami suhu lebih tinggi berbanding negeri lain disebabkan kedudukannya berhampiran rantau Indochina yang lebih panas.

Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran tahap satu (berjaga-jaga) untuk 17 kawasan di Semenanjung dan tahap dua (gelombang haba) bagi tiga kawasan.

Daerah Pokok Sena, Pendang dan Baling di Kedah kekal tiga kawasan dilanda cuaca panas tahap dua setakat 6 pagi tadi.

Raub dan Jerantut di Pahang pula menjadi kawasan terbaharu berada pada tahap satu bersama 15 kawasan lain, termasuk seluruh Perlis dan Kuala Lumpur; Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda, Kulim and Bandar Baharu di Kedah; timur laut dan utara Pulau Pinang serta Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak.

Amaran tahap satu dikeluarkan apabila suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut, manakala tahap dua antara 37 hingga 40 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img