Gelombang pemimpin keluar, bubar Bersatu kini cecah 23 bahagian

GELOMBANG pemimpin Bersatu keluar dan bubarkan bahagian parti itu di seluruh negara berterusan ketika Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan mereka tidak berhak demikian.

Hari ini,  seramai 11 Ketua Bahagian Bersatu Johor yang  mengumumkan peletakan jawatan menegaskan sebarang keputusan mengenai masa depan politik mereka akan dibuat secara konsensus bukannya secara individu.

Bekas Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru yang juga bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, Datuk Zulkifli Bujang memberitahu, mereka akan terus berbakti kepada masyarakat melalui platform-platform lain.

“Kami percaya untuk bergerak dalam satu kumpulan. Jika terdapat sebarang penawaran daripada parti-parti lain, perkara itu akan dibincangkan bersama. Kami tidak bergerak secara individu atau berpecah-pecah,” katanya pada sidang akhbar di Simpang Renggam.

Mengulas soal hala tuju politik, beliau menjelaskan parti hanyalah sebuah platform, manakala perjuangan sebenar tetap kekal iaitu membela agama, bangsa dan tanah air.

“Perjuangan kita tetap satu dan tidak berubah. Apa jua platform yang dipilih nanti, matlamatnya adalah untuk memastikan kita terus mara membela nasib rakyat, bangsa dan tanah air,” katanya.

Di Dungun, seramai 1,880 ahli Bersatu Bahagian Dungun mengumumkan keluar parti dan melepaskan semua jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta.

Bekas Ketua Bersatu Bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara menerusi satu perjumpaan musyafahah yang melibatkan seluruh jawatankuasa di peringkat bahagian dan cawangan.

Menurutnya, tindakan itu turut melibatkan pembubaran jawatankuasa di ketiga-tiga peringkat sayap parti iaitu Armada, Srikandi dan Srikandi Muda.

“Alhamdulillah, dalam perjumpaan secara musyawarah hari ini, semua jawatankuasa telah bersetuju untuk membubarkan jawatankuasa di ketiga-tiga peringkat. Dengan kehadiran semua kepimpinan pada hari ini, keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara bagi menyatakan pendirian kami,” katanya lapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz menjelaskan bahawa tindakan tersebut melibatkan ahli daripada 13 cawangan aktif yang berada di bawah pentadbiran Bahagian Dungun.

Ujarnya, keputusan drastik itu diambil ekoran hilangnya kepercayaan dan sokongan terhadap kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ahli bersama ketua cawangan telah bersetuju bahawa seramai 1,880 ahli akan keluar daripada parti hari ini. Sebelum ini pun, pihak bahagian telah memaklumkan bahawa kami tidak lagi menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dalam Bersatu,” tegasnya.

Setakat ini 23 pemimpin bahagian Bersatu mengumumkan keluar parti itu dan membubarkan bahagian masing-masing manakala dua Bersekutu Bersatu negeri dibubarkan iaitu Wilayah Persekutuan dan Johor. Pada masa sama, beberapa pemimpin turut meletakkan jawatan.

Mereka ialah Tan Sri Rais Yatim, Tan Sri Noh Omar, Ketua Bersekutu Malaysia Dr Chong Fatt Full, Ketua Bersekutu Wilayah Persekutuan Datuk Simon Sureh dan Ketua Bersekutu Johor Datuk Tan Lek Khang.

Pembubaran bahagian Bersatu tidak menyenangkan pemimpin-pemimpin Pusat parti itu apabila Mohamed Azmin menyifatkan tindakan tidak berperlembagaan.

Bagaimanapun dalam kenyataan beliau hari ini,Mohamed Azmin hanya menyentuh bahagian Larut, Lembah Pantai, kepala Batas dan Tanjong sedangkan keseluruhan terdapat 23 bahagian dibubarkan.

Mohamed Azmin menyifatkan dakwaan ini adalah tidak berasas dan tidak berperlembagaan sertabercanggah dengan beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan dan Peraturan Persidangan Bersatu.

‘’ Perlembagaan parti tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli parti termasuk Ketua Bahagian untuk membubarkan Bahagian. Ini adalah tindakan terdesak segelintir individu yang berniat jahat untuk merosakkan imej dan maruah parti serta menggugat kestabilan parti,’’ tegasnya.

Difahamkan lebih banyak bahagian Bersatu akan dibubarkan sebagai tanda bantahan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img