AKSI hambar terus menghantui juara Liga Perdana musim lalu, Liverpool yang kini seolah-olah ‘mahu menjadi pakar seri’. Sebanyak dua kali pasukan itu berpeluang untuk mencatat kemenangan apabila mendahului Leeds United sebanyak dua kali dengan kedudukan 2-0 di di Elland Road.
Namun semua itu sekadar impian, apabila Liverpool yang dibimbing Arne Slot terpaksa pulang dengan satu mata selepas Leeds United bangkit untuk menyamakan kedudukan sebanyak dua kali. Paling memedihkan bagi Liverpool, pemain Leeds United Ao Tanaka menjaring gol pada minit 96.
Percubaan melengkung pemain Liverpool Curtis Jones yang menggegar palang gol menjadi detik terbaik dalam separuh masa pertama yang hambar, sebelum Hugo Ekitike menjaringkan dua gol dalam lima minit pertama babak kedua untuk meletakkan Liverpool 2-0 di hadapan.

Ekitike memintas hantaran silap Joe Rodon untuk menyudahkan rembatan ke penjuru kiri bawah pada minit ke-48, kemudian kekal ‘onside’ untuk menolak masuk bola selepas Conor Bradley merampas bola daripada Gabriel Gudmundsson dan melakukan hantaran lintang dari sebelah kanan.
Namun Leeds mendapat talian hayat pada minit ke-73 apabila Ibrahima Konaté menjatuhkan Wilfried Gnonto dengan terjahan berbahaya. Penalti diberikan selepas semakan VAR, dan bekas penyerang Everton, Dominic Calvert-Lewin, menyempurnakannya.
Dua minit selepas itu, ‘derita’ Liverpool bermula,Anton Stach menjaringkan gol penyamaan untuk Leeds United. Walaupun Liverpool kembali di depan pada ke-80 melalui jaringan Dominik Szoboszlai. Ketika penyokong Liverpool yakin kemenangan sudah pasti dalam genggaman manakala penyokong Leeds United merasakan mereka akan tewas di gelanggang sendiri Tanaka mengubah suasana dengan menjaring gol penyamaan membolehkan permainan berakhir dengan 3-3.
Pemain Liverpool melangkah keluar padang dengan longlai selepas perlawanan tamat kerana ini kali ketiga, gol minit-minit akhir mengecewakan mereka. Tetapi seri dengan Leeds United lebih baik berbanding tewas kepada Crystal Palace dan Chelsea pada minit-minit tersebut.
Apapun keputusan itu sudah menyamai rekod terbanyak yang pernah mereka bolos dalam satu musim penuh Liga Perdana, selepas turut melepaskan tiga gol sedemikian pada musim 2010-11 – ketika mereka menamatkan saingan di tangga keenam. Keadaan ini sudah tentulah memeningkan kepala pengurus Arne Slot bagi mencari formula untuk mengembalikan Liverpool ke jalan kemenangan. Keputusan seri tidak mencukupi, biarpun lebih baik daripada kalah.


