Greta Thunberg ditahan di London selepas pamer ‘sepanduk’ sokong tahanan Palestin, tentang genosid

AKTIVIS Sweden, Greta Thunberg, dibebaskan daripada tahanan selepas ditangkap pada Selasa di London ketika menyertai demonstrasi pro-Palestin kerana memegang sepanduk bertulis “I support the Palestine Action prisoners. I oppose genocide” (Saya menyokong tahanan Palestine Action. Saya menentang genosid).

 Kumpulan kempen berpusat di UK, Prisoners for Palestine, memaklumkan Thunberg, 22, ditahan di bawah Akta Keganasan kerana memaparkan sepanduk yang menyokong tahanan kumpulan Palestine Action.

Menurut Polis City of London, Thunberg telah dibebaskan dengan jaminan dan dikehendaki hadir semula ke mahkamah pada Mac depan.

Sebelum itu, polis memaklumkan dua individu lain turut ditahan kerana membaling cat merah ke arah sebuah bangunan. Jurucakap polis berkata seorang wanita berusia 22 tahun kemudian hadir ke lokasi dan ditangkap kerana mempamerkan sepanduk yang menyokong sebuah pertubuhan yang telah diharamkan.

Prisoners for Palestine, yang menyokong beberapa aktivis ditahan termasuk mereka yang melancarkan mogok lapar, berkata bangunan tersebut disasarkan kerana digunakan oleh Aspen Insurance, sebuah syarikat yang didakwa menyediakan perkhidmatan kepada cawangan Britain firma pertahanan Israel, Elbit Systems.

Menurut laporan, sekurang-kurangnya tiga individu yang memulakan mogok lapar telah menghentikan tindakan itu berikutan kemerosotan tahap kesihatan mereka, manakala beberapa yang lain masih meneruskannya.

Para penunjuk perasaan yang melakukan mogok lapar menuntut supaya UK menghentikan operasi kilang senjata yang membekalkan senjata kepada Israel, membatalkan pengharaman ke atas Palestine Action, menamatkan layanan buruk terhadap tahanan, serta memberikan jaminan segera.

Beberapa ahli politik dilaporkan telah melawat tahanan yang mogok lapar dan memberi amaran kepada kerajaan bahawa nyawa mereka berisiko dalam beberapa hari akan datang.

Protes itu merupakan yang terbaharu diadakan sebagai tanda solidariti terhadap aktivis Palestine Action, sebuah kumpulan yang telah diharamkan dan dilabel sebagai “pertubuhan pengganas” oleh kerajaan United Kingdom.

Kumpulan Defend Our Juries berkata protes  itu bertujuan menarik perhatian terhadap apa yang didakwa sebagai “penglibatan Aspen Insurance dalam genosid” serta menyatakan solidariti terhadap tahanan yang dikaitkan dengan Palestine Action.

Thunberg mula dikenali di peringkat antarabangsa selepas mengadakan protes iklim mingguan di hadapan Parlimen Sweden pada 2018. Sejak itu, beliau secara terbuka menyifatkan perang Israel di Gaza sebagai satu genosid dan dua kali menyertai kempen flotila untuk memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah tersebut.

Pada Oktober lalu, Thunberg dilaporkan ditahan oleh tentera Israel bersama 478 individu lain sebelum diusir keluar selepas menyertai konvoi kapal aktivis Global Sumud Flotilla yang cuba menghantar bantuan ke Gaza ketika Israel mengenakan sekatan penuh.

Beberapa hari sebelum penangkapannya di London, Thunberg menyuarakan solidariti terhadap tahanan yang mogok lapar melalui Instagram, dengan menyatakan bahawa tanggungjawab terletak pada negara untuk campur tangan dan memenuhi tuntutan yang disifatkannya munasabah demi kebebasan mereka yang berusaha menghentikan genosid.

Jurucakap Palestine Action berkata masih tidak jelas sama ada polis telah “tersalah tafsir larangan kontroversi ke atas Palestine Action” atau menganggap sesiapa sahaja yang menyatakan sokongan kepada tahanan yang ditahan melebihi tempoh sah sebagai “pengganas”.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img