GSF: Usaha bebaskan aktivis, Malaysia terima bantuan pelbagai negara termasuk ASEAN

MALAYSIA menerima bantuan daripada beberapa negara termasuk negara anggota ASEAN dalam usaha membebaskan aktivis kemanusiaan yang ditahan pihak berkuasa Israel selepas menyertai misi Global Solidarity Flotilla (GSF), kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata kerajaan kini menggerakkan pelbagai saluran diplomatik melalui rakan antarabangsa yang mempunyai kedutaan di Israel termasuk Amerika Syarikat, Turkiye, Jordan dan Mesir bagi memastikan keselamatan dan pembebasan rakyat Malaysia yang masih dalam tahanan.

“Kita memang dah jangkakan keadaan begini akan berlaku, jadi kita telah pun berbincang sesama rakan-rakan khususnya daripada ASEAN.

“(memandangkan) Malaysia tidak mempunyai kedutaan di Israel, kita telah minta supaya negara-negara rakan memberikan bantuan konsular kepada rakyat kita yang ditahan,” katanya pada sidang media selepas meninjau Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) di Sepang hari ini, lapor Bernama.

Mohamad berkata setakat ini, Jordan dan Turkiye  telah memberi jaminan untuk membantu proses membawa pulang rakyat Malaysia sebaik sahaja mereka dibebaskan.

Beliau berkata Amerika Syarikat melalui timbalan menteri luarnya turut menyatakan komitmen untuk membantu melalui kedutaannya di Tel Aviv dan bersedia memberikan apa jua bantuan yang diperlukan rakyat Malaysia.

 Semua misi diplomatik Malaysia di Jordan, Turkiye, Kaherah dan Algeria katanya kini berada dalam keadaan siap siaga untuk memberikan bantuan dan sokongan logistik sekiranya rakyat Malaysia dibebaskan melalui mana-mana pintu sempadan.

“Kita tidak tahu (laluan mana tahanan akan dilepaskan) sebab ini terpulang kepada pihak rejim Zionis Israel untuk menghantar mereka balik,” katanya.

Mohamad turut memaklumkan bahawa komunikasi antara  barisan peguam yang mewakili GSF dan aktivis tidak dapat dilakukan pada waktu ini kerana Israel sedang menyambut perayaan Yom Kippur, yang juga cuti umum sekali gus menyebabkan pejabat kerajaan dan diplomatik ditutup.

Beliau berkata situasi itu telah menangguhkan sementara proses diplomasi dan rundingan untuk membawa pulang aktivis GSF.

“Jangan risau, kerajaan sentiasa memantau keadaan mereka secara ‘by the second’… .Kita harap hari Isnin nanti, bila pejabat dibuka semula, kita akan dapat berhubung semula. Tapi hubungan kita melalui perantaraan negara sahabat sentiasa dalam keadaan yang amat baik,” katanya.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Kementerian Luar sebelum ini mengesahkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

SEMENTARA ITU, aktivis Malaysia yang ditahan di Penjara Ketziot, Israel telah dinasihatkan menandatangani borang ‘request for immediate departure’ atau ‘Permohonan untuk Pelepasan Segera’.

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihak Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) telah berhubung dengan 20 daripada 23 rakyat Malaysia yang ditahan, manakala tiga lagi akan diuruskan dalam masa terdekat.

“SNCC bersama kerajaan Malaysia kini berada dalam siap sedia untuk membawa pulang semua 23 delegasi Malaysia sebaik sahaja menerima isyarat daripada kerajaan Turkiye yang menjadi penghubung utama dalam rundingan diplomatik dengan rejim Zionis.

“SNCC menggesa seluruh rakyat Malaysia meneruskan sokongan kepada delegasi misi flotila ini dan melaksanakan solat hajat dan doa Qunut Nazilah supaya koridor kemanusiaan di Gaza dibuka,” katanya pada sidang akhbar.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img