Gunakan teknologi AI ‘sebagai bantuan bukan pengganti’ – Ketua Hakim Negara

KETUA Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengingatkan ahli guaman tidak terlalu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI).

Katanya, menjadi insan bermakna belajar, melakukan kesilapan, bergelut, dan mengingati.

‘’ Tidak syak lagi ia (AI) telah menjadikan kita kurang menggunakan keupayaan mental sendiri.

“Apabila kita menyerahkan pemikiran kepada pihak luar (AI), memang menjimatkan masa. Tetapi, kita sedang kehilangan sebahagian diri. Kecekapan adalah untuk mesin,” katanya pada Persidangan Persatuan Pendidikan Undang-undang Komanwel 2026 di Universiti Malaya.

Wan Ahmad Farid menggalakkan warga guaman untuk menerima teknologi itu, namun perlu menggunakannya dengan bijak ‘sebagai bantuan, bukannya pengganti’.

Beliau turut menekankan kepentingan disiplin dalam berfikir secara mendalam, menyatakan hujah dengan jelas, dan melibatkan diri secara bermakna.

“Ini bukannya kemahiran ketinggalan zaman. Ia adalah asas utama kepada advokasi, penghakiman, dan keadilan,” katanya.

Wan Ahmad Farid berkata, teknologi tidak dapat menimbang perasaan belas kasihan atau melaksanakan pertimbangan hati nurani, dan pastinya tidak mampu memahami kisah kemanusiaan di sebalik setiap kes undang-undang.

“Budi bicara kehakiman, kesaksamaan, dan kebebasan mesti sentiasa menjadi teras kepada apa yang kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata, ia menjadi sebab mengapa penaakulan etika perlu diterapkan sejak dari awal dalam cara undang-undang diajar dan diamalkan.

“Pada akhirnya, kita bukan sekadar melatih peguam untuk berhujah dengan baik. Kita sedang membentuk individu yang membawa harapan dan menegakkan keadilan,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img