Guru agama dipenjara tujuh tahun, dua sebatan cabul pelajar perempuan

SEORANG guru pendidikan Islam sebuah sekolah menengah di Senawang dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak murid perempuannya berusia 13 tahun di surau sekolah, tiga tahun lalu.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Farid Azhar Nawi, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan pihak pendakwaan.

Selain itu, Surita turut mengarahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman penjara, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal dengan cara menyentuh bagi maksud seksual pinggang seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun ketika kejadian yang mana tertuduh mempunyai hubungan amanah sebagai guru.

Kesalahan itu dilakukan pada 4 Ogos 2022 jam lebih kurang 5.30 petang di surau sebuah sekolah menengah di Senawang, Negeri Sembilan.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(c) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta penjara lima tahun dan dua sebatan.

Terdahulu peguam, Nor Azleen Khairina A Aziz memaklumkan kepada mahkamah yang tertuduh berhasrat memfailkan rayuan terhadap sabitan dikenakan dan hukuman berat berisiko mendatangkan ketidakadilan kepadanya.

Ujarnya, tertuduh juga merupakan pesalah kali pertama dan tiada sebarang rekod lampau serta mempunyai dua isteri dan lima anak yang tiga daripadanya sedang menuntut di universiti.

“Tertuduh juga menunjukkan kekesalan yang mendalam dan mengakui kelemahannya. Mohon hukuman ringan dan munasabah terhadap tertuduh,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak.

Beliau turut memohon mahkamah menggunakan prinsip kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi.

Nor Azleen Khairina kemudian memohon budi bicara mahkamah untuk menangguhkan hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwaan membantah penangguhan hukuman, namun mengambil kira tertuduh yang merupakan penjawat awam, mahkamah membenarkan penangguhan terbabit.

Wang jaminan terhadap tertuduh dinaikkan kepada RM20,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport.

Surita ketika membacakan keputusan di akhir kes pembelaan berkata, keterangan tertuduh merupakan satu penafian kosong yang gagal menimbulkan keraguan pada kes pendakwaan.

“Keterangan mangsa adalah konsisten dan tidak bersifat rekaan semata-mata serta disokong oleh dua saksi mata yang turut nampak kejadian itu.

“Dakwaan tertuduh bahawa terdapat satu pakatan atau cubaan mengenakannya oleh pihak sekolah adalah bersifat andaian yang gagal dibuktikan,” katanya.

Menurutnya, mahkamah turut berpendapat yang saksi kanak-kanak yang dipanggil dalam kes ini merupakan saksi jujur dan tidak berniat jahat.

Surita berkata, tertuduh sebagai tenaga pengajar yang telah diarahkan membimbing kanak-kanak, tapi menyalahgunakan kedudukannya sehingga menyebabkan mangsa mengalami trauma serta mencemar nama baik guru agama dan telah menjatuhkan imej sekolah.

“Tertuduh sepatutnya melindungi dan memberi tunjuk ajar yang baik kepada anak murid, bukannya mengambil kesempatan ke atas mangsa yang baru berusia 13 tahun ketika kejadian,” ujarnya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img