Guru wanita rugi RM604,000 diperdaya skim pelaburan palsu

TERPEDAYA dengan jaminan pulangan wang pelaburan sehingga 350 peratus, seorang guru wanita kerugian RM604,000 akibat mempercayai satu skim pelaburan dalam talian berkonsepkan mesin judi yang disertainya sejak Ogos lalu.

Mangsa yang berusia 57 tahun akhirnya menyedari dia ditipu lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya, Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa dibawa masuk ke dalam kumpulan WhatsApp dikenali sebagai Pelaburan Sentosa oleh seorang lelaki yang dikatakan sebagai ejen pelaburan pada Ogos lalu.

“Sindiket itu menawarkan skim pelaburan berasaskan mesin judi dengan janji pulangan sehingga 350 peratus dalam tempoh sebulan daripada jumlah yang dilaburkan.

“Guru wanita itu yang berminat dengan skim pelaburan ini telah diarahkan melayari sebuah laman web bagi pendaftaran keahlian dan mula membuat pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Azizee, akibat percaya dengan tawaran pelaburan itu, mangsa antara 2 Oktober hingga 31 Oktober telah membuat 20 transaksi wang ke dalam lima akaun bank berbeza.

Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal membuat pengeluaran keuntungan berjumlah RM1.8 juta seperti dipaparkan dalam aplikasi pelaburan tersebut.

Tambah beliau, guru itu akhirnya mengesyaki dia telah menjadi mangsa penipuan dan tampil membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Barat Daya bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sehubungan itu, Azizee menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan skim pelaburan yang ditawarkan dalam talian, khususnya melalui aplikasi atau media sosial.

“Penyertaan dalam skim pelaburan tanpa pengesahan pihak berautoriti amat berisiko. Masyarakat perlu membuat semakan terlebih dahulu dengan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk memastikan kesahihan mana-mana entiti atau individu,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img