Hampir 7,000 kes kebakaran terbuka diterima JBPM sejak awal tahun ini

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sebanyak 6,999 kes kebakaran terbuka di seluruh negara sejak 1 Januari lalu hingga hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 154 kes kebakaran terbuka dilaporkan hari ini dan semalam.

DATUK Seri Nor Hisham Mohammad

Menurut beliau, Johor mencatatkan jumlah insiden kebakaran terbuka tertinggi berbanding negeri lain.

“Daripada jumlah berkenaan, kes kebakaran belukar mendominasi dengan 5,224 kes, diikuti hutan (380 kes) dan tapak pelupusan haram/pembakaran sampah sarap (886 kes).

“Jenis kebakaran lain termasuk ladang (40 kes), kebun kecil (332 kes), sawah padi (122 kes), tapak pembinaan (4 kes) dan industri (4 kes),” katanya berdasarkan laporan Insiden Kebakaran Terbuka Pusat Gerakan Operasi Kebombaan Kebangsaan JBPM.

Nor Hisham berkata, Johor merekodkan 42 kes kebakaran terbuka harian, tertinggi di seluruh negara, dengan jumlah kumulatif 1,449 kes.

“Sebanyak 709.85 hektar kawasan di negeri itu terbakar sejak awal tahun ini, dan setakat ini 6.88 hektar masih dalam proses pemadaman,” kata beliau.

Tambahnya, risiko kebakaran terbuka khususnya di kawasan hutan dan belukar, meningkat bukan sahaja disebabkan cuaca panas, malah turut dipengaruhi faktor lain.

“Kita rujuk kepada kepanjangan hari tanpa hujan dan sikap tidak bertanggungjawab mereka yang melakukan pembakaran,” katanya.

Selain Johor, negeri lain yang turut merekodkan jumlah kes tinggi ialah Selangor (23 kes harian, kumulatif 948), Kedah (22 kes harian, kumulatif 1,362) dan Melaka (17 kes harian, kumulatif 572).

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah dan Labuan mencatatkan kes paling rendah atau tiada insiden dalam tempoh sama,” katanya.

Data jabatan itu menunjukkan trend kebakaran harian meningkat sejak awal Februari, dengan puncak dicatatkan pada 3 Februari (397 kes) sebelum menurun sedikit, namun kembali meningkat pada 10 Februari (226 kes) dan 14 Februari (154 kes).

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img