BEKAS Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, beliau kini mempunyai tiga kemungkinan hala tuju selepas dipecat keahlian daripada Bersatu semalam.
Menurut Ahli Parlimen Larut itu, tiga kemungkinan tersebut adalah mengambil alih parti Berjasa, kembali menganggotai UMNO atau menyertai Pas.
Hamzah bagaimanapun menjelaskan bahawa sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan akan diambil secara konsensus bersama pemimpin lain yang turut dipecat Bersatu.
Namun buat masa ini, Ketua Pembangkang itu mengaku selesa memainkan peranan sebagai Ahli Parlimen Bebas sehingga kedudukan itu diputuskan sebaliknya kelak jika berlaku.
“Saya akan ada ‘rumah baharu’. Rumah baharu ini merujuk kepada rumah bangsa… ia boleh menjadi parti baharu atau lama tetapi yang penting, rumah baharu.
“Begitu juga dengan dakwaan bahawa saya akan mengambil alih Berjasa. Mungkin betul atau tidak tetapi segala-galanya akan dipertimbangkan kerana ini adalah antara pilihan yang ada,” katanya kepada pemberita pada Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di ibu negara, petang ini.


