BEKAS Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap pengasas parti itu, Datuk Seri Redzuan Yusof berhubung dakwaan beliau mengatur enam Ahli Parlimen parti itu menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023.
Saman itu difailkan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Januari lalu menerusi firma guaman Messrs Siddiq Azani & Co dengan menamakan Redzuan sebagai defendan.
Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan yang diperoleh NST, Hamzah menuntut RM50 juta sebagai ganti rugi am dan masing-masing RM25 juta bagi ganti rugi teruk serta teladan.
Beliau turut memohon mahkamah mengenakan faedah lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh keputusan hingga penyelesaian penuh.
Selain itu, Hamzah memohon perintah supaya Redzuan menarik balik kenyataan berkenaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa syarat menerusi media elektronik dan akhbar harian berbahasa Melayu, mengikut terma dipersetujui pihaknya.
Hamzah mendakwa Redzuan gagal memohon maaf berhubung kenyataan disiarkan dalam BH pada 5 November 2025 yang disifatkannya sebagai palsu, berniat jahat dan menjejaskan reputasinya sebagai Ketua Pembangkang serta pemimpin kanan Bersatu ketika itu.
Antara lain, Hamzah berkata, Redzuan mendakwa beliau menekan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya meletakkan jawatan, menggerakkan enam Ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar serta mensabotaj parti.
Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Hamzah berkata, penyiaran meluas kenyataan itu melalui akhbar dan platform digital mendedahkannya kepada kritikan, kebencian dan cemuhan awam, selain menjejaskan keyakinan ahli parti serta orang ramai terhadap peranannya sebagai Ketua Pembangkang.
Susulan itu, beliau menghantar surat tuntutan kepada Redzuan pada 6 November tahun lalu.
Bagaimanapun, firma guaman Messrs Cheah Teh & Su yang mewakili Redzuan membalas pada keesokan harinya dengan menafikan bekas Ahli Parlimen Alor Gajah itu membuat kenyataan dipertikaikan.
Hamzah dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.
Redzuan ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai saman berkenaan, namun berkata, peguamnya sudah dimaklumkan dan akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu.


