BEKAS Ketua Strategi dan Penasihat Kanan kepada Donald Trump pada tahun 2017, Steve Bannon menggesa agar anak kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut terlibat secara langsung dalam potensi perang darat menentang Iran.
Kenyataan itu yang dibuat ketika ketegangan antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran semakin memuncak, Bannon secara terbuka mencadangkan supaya Yair Netanyahu dibawa pulang ke Israel bagi menjalani khidmat ketenteraan.

Beliau malah menggesa agar Yair ditempatkan di barisan hadapan sekiranya berlaku pencerobohan darat ke Iran.
“Pakaikan uniform kepadanya dan hantar dalam gelombang pertama,” kata Bannon, merujuk kepada kewajipan ketenteraan yang secara teknikal masih boleh dipikul oleh Yair sebagai anggota simpanan tentera Israel.
Kenyataan tersebut muncul susulan laporan bahawa Yair lebih banyak berada di luar Israel sejak konflik meningkat pada Oktober 2023.
Media Israel sebelum ini melaporkan beliau pernah tinggal di Miami bersama ibunya, sekali gus mencetuskan kritikan ketika negara berdepan situasi perang yang memerlukan mobilisasi menyeluruh.
Bannon menegaskan bahawa dalam keadaan perang, semua lapisan masyarakat termasuk keluarga pemimpin wajar memikul tanggungjawab yang sama.
Menurutnya, penglibatan golongan elit secara langsung boleh menjadi simbol akauntabiliti serta meningkatkan legitimasi dasar kerajaan di mata rakyat.
Selain faktor keadilan, gesaan itu juga mencerminkan tekanan politik yang semakin meningkat terhadap kerajaan Netanyahu.
Dalam suasana ketegangan yang memuncak dengan Iran, setiap keputusan strategik Israel kini berada di bawah penelitian rapi, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Isu ini turut menyentuh persepsi awam terhadap konflik tersebut. Penglibatan keluarga pemimpin dilihat mampu mengukuhkan sokongan rakyat, manakala ketiadaan mereka berpotensi mencetuskan tanggapan bahawa beban perang hanya ditanggung oleh rakyat biasa.
Dalam masa sama, Bannon turut mengkritik negara-negara Teluk seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar.
Beliau menggesa agar golongan elit dan bangsawan di negara-negara tersebut turut terlibat secara langsung dalam sebarang operasi ketenteraan jika mereka menyokong tindakan terhadap Iran.
Menurutnya, penglibatan itu penting sebagai lambang tanggungjawab bersama, khususnya bagi negara yang mempunyai kepentingan strategik dalam konflik berkenaan.


