PERJALANAN pulang si suami selepas menghantar isterinya ke tempat kerja berakhir tragedi selepas lelaki tersebut maut akibat kecederaan parah di kelapa.
Nur Hafiz Mizal, 20, maut selepas motosikal Honda RSX ditunggangnya merempuh kereta yang menukar haluan secara mengejut di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin dalam kejadian pukul 8.35 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sewaktu kejadian, mangsa baru selesai menghantar isterinya bekerja di Tengkera dan menuju pulang ke rumah di Taman Desa Duyong.
Menurutnya, kedua-dua kenderaan terbabit bergerak dari arah persimpangan lampu isyarat Bukit Piatu.
“Kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Alza dipandu seorang guru wanita berusia 37 tahun tiba-tiba menukar haluan secara mengejut ke arah Jalan Taman Semabok Perdana.
“Penunggang motosikal yang datang dari arah belakang di sebelah kiri tidak sempat mengelak dan membrek sebelum melanggar bahagian hadapan kereta berkenaan lalu terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Christopher berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah menjalani ujian saringan air kencing yang didapati negatif.
“Kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan di Puspakom dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengetahui punca sebenar kemalangan,” katanya.
Sementara itu, difahamkan mangsa baru menimang cahaya mata berusia empat bulan.
Tambah beliau, orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.


