SEORANG pegawai kanan pertahanan Iran mengeluarkan amaran tegas kepada tentera Amerika Syarikat (AS), dengan menegaskan bahawa Tehran telah lama bersiap sedia menghadapi kemungkinan pencerobohan darat.
Laksamana Ali Akbar Ahmadian, wakil Pemimpin Revolusi Islam dalam Majlis Pertahanan Iran, pada Selasa berkata bahawa negaranya telah menghabiskan lebih dua dekad membuat persiapan bagi menghadapi senario tersebut.
“Selama lebih dua dekad, kami telah berlatih untuk saat Amerika memasuki wilayah kami,” katanya, sambil menegaskan bahawa strategi Iran berasaskan konsep peperangan tidak asimetrik, laporan almayadeen.ner
Dalam konteks ketenteraan, asimetrik merujuk kepada keadaan di mana dua pihak tidak seimbang dari segi kekuatan atau keupayaan.
Beliau turut menyampaikan mesej langsung kepada tentera AS dengan berkata, “Kami hanya mempunyai satu mesej, iaitu datanglah lebih dekat.”
Menurut Ahmadian, pasukan Iran telah lama menjangkakan kemungkinan pencerobohan ke titik-titik tertentu yang telah dikenal pasti, sekali gus menunjukkan bahawa pelbagai senario pertempuran telah dirancang lebih awal.
Kenyataan itu dibuat ketika ketegangan antara kedua-dua negara semakin memuncak, sekali gus meningkatkan kemungkinan tercetusnya konflik serantau yang lebih luas, termasuk potensi pencerobohan darat oleh AS.
Terdahulu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran yang terkorban dalam serangan Israel, Ali Larijani, turut memberi amaran serupa dengan menyatakan bahawa “tanah Iran bukan tempat untuk tarian syaitan.”
Dalam perkembangan berkaitan, laporan menyebut bahawa Washington sedang mempertimbangkan operasi darat untuk menguasai Pulau Kharg, hab utama eksport minyak Iran.
Pulau yang terletak di Teluk itu mengendalikan kira-kira 90 peratus eksport minyak mentah Iran, menjadikannya sasaran strategik dalam konflik semasa.
Perbincangan di pihak AS dilaporkan tertumpu kepada usaha menduduki pulau tersebut bagi memberi tekanan ekonomi kepada Tehran, selain memaksa Iran membuka semula Selat Hormuz, laluan penting perdagangan tenaga dunia.
Minggu lalu, AS dilaporkan telah menyasarkan infrastruktur tenaga di pulau berkenaan. Namun, agensi berita Mehr memetik sumber memaklumkan bahawa keadaan di Pulau Kharg kekal stabil, dengan kemudahan minyak tidak mengalami kerosakan dan masih beroperasi seperti biasa.
Sumber itu turut mengesahkan bahawa semua pekerja sektor minyak Iran di pulau tersebut berada dalam keadaan selamat.


