HKL diarah bayar ganti rugi hampir RM255,000 kes saman pensyarah atas kematian ibu

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) membayar ganti rugi hampir RM255,000 kepada seorang pensyarah kerana gagal memberikan rawatan kepada ibunya, sehingga menyebabkan wanita berusia 80 tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan kepala, enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong berkata, Lim Lee Sim berjaya membuktikan wujudnya ‘kecuaian perubatan yang nyata’ di pihak HKL dan kakitangannya.

Lee Sim menamakan seorang doktor, pengarah HKL serta kerajaan sebagai defendan. Techiong turut mendapati HKL dan kakitangannya bertanggungjawab terhadap kematian Tan Guan Eng.

Beliau menganugerahkan Lee Sim RM150,000 sebagai ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan serta kehilangan kenikmatan hidup; RM100,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM4,420 sebagai ganti rugi khas.

Techiong turut menganugerahkan Lee Sim RM50,000 sebagai kos dalam kapasiti beliau sebagai pentadbir harta pusaka ibunya.

Dalam penghakimannya, Techiong berkata, terdapat satu siri kegagalan sistemik yang bermula sebaik ibu pensyarah itu tiba di HKL kira-kira jam 7 pagi pada 28 Jan 2020.

Techiong berkata, walaupun wanita itu memaklumkan kepada pembantu perubatan bahawa dia dilanggar kenderaan, namun si mati tidak menerima rawatan segera.

Beliau turut memutuskan bahawa beberapa kegagalan kritikal berlaku apabila tiada pemeriksaan ke atas kepala pesakit dilakukan selama beberapa jam selepas kedatangannya ke hospital.

Techiong berkata, doktor berkenaan mengakui terlepas pandang keperluan untuk memeriksa kepala pesakit, walaupun telah dimaklumkan bahawa mangsa dilanggar kereta.

Tambahnya, Guan Eng menunjukkan simptom jelas kecederaan otak termasuk muntah dan terjatuh dari tempat duduknya, namun wanita itu dihantar untuk pemeriksaan ortopedik pada kaki.

“Mahkamah ini mendapati terdapat bukti kecuaian perubatan yang nyata di pihak kakitangan hospital.”

Techiong berkata, sekiranya pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan menjalankan pemeriksaan menyeluruh dari kepala hingga kaki, pasti mereka akan mengesan bengkak pada kepala susulan pendarahan dalaman yang serius serta membuat diagnosis lebih awal.

Sehubungan itu, beliau berkata pengarah hospital dan kerajaan bertanggungjawab secara vikarius terhadap kecuaian tersebut.

Dalam prosiding itu, peguam Harish Nair dan Maxine Lim mewakili Lee Sim, manakala Peguam Persekutuan Low Qin Hui dan Minnie Chew Mee Ru mewakili kerajaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img