HUKUMAN merotan pelajar perlu dikembalikan dalam usaha membentuk disiplin dan sahsiah pelajar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat tindakan itu wajar dilaksanakan semula, namun dengan syarat ketat bagi mengelakkan sebarang unsur penderaan.
“Pandangan saya, ia (merotan) perlu dikembalikan tetapi dengan syarat-syarat ketat, bukan secara terbuka. Rotan mungkin di tangan, bukan bagi kelonggaran sepenuhnya. Saya pernah jadi guru, saya ingat puluhan anak-anak saya dah rotan, tetapi di tangan tentu tak nampak sangat penderaannya.
“Kenakalan anak-anak ini perkara biasa, tetapi bila mereka melanggar peraturan secara berlebihan, tentunya perlu ada hukum. Ini sekadar pandangan, bukan dasar kerajaan, dan perlu dilakukan libat urus semua pihak,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung isu merotan pelajar sekolah dan tindakan terhadap guru yang menggunakan pendekatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Anwar mengakui ada pandangan daripada kumpulan hak asasi manusia yang merasakan tindakan rotan termasuk dalam kategori penderaan anak-anak dan beliau memahami kontroversi itu, namun ramai pendidik dan ibu bapa merasakan terdapat keperluan untuk melaksanakannya.
“Tetapi (kalau dikembalikan hukuman rotan) ada syarat-syarat yang ketat dan perlu ditugaskan guru-guru tertentu, (selain) dilakukan di bilik khas iaitu bilik disiplin serta ditetapkan berapa jumlah maksimum rotan.
“Ada beberapa peraturan, jadi saya fikir, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang. Kerana kenakalan anak-anak adalah satu perkara biasa, namun jika melanggar peraturan secara berlebihan, tentunya perlu ada hukuman. Tapi ini sekadar pandangan dan bukan dasar kerajaan,” katanya.
Menjawab soalan mengenai pendakwaan dikenakan terhadap dua guru Sekolah Menengah jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian kerana didakwa merotan pelajar, Anwar berkata perkara itu sedang dalam tindakan mahkamah.
“Cuma saya ingin beritahu di sini, kebetulan daripada laporan diperoleh, salah seorang murid adalah anak autisme. Jadi kalau begitu, keadaannya mungkin agak berbeza… eloklah kita ikut fakta, saya tidak harus komen lebih daripada itu.
“Tapi kalau kes itu agak ringan, maka tentunya pihak pendakwa raya boleh menilai semula sama ada untuk meringankan tuduhan berkenaan,” katanya.
Berhubung larangan penggunaan telefon bimbit dan media sosial, Anwar, berkata perkara mengundang banyak bantahan.
Beliau berkata, kerajaan bukan mengharamkan telefon bimbit, tetapi penggunaan media sosial di sekolah.
“Tapi kalau guna telefon, dia ada juga masalah, bukan saja (dari segi penggunaan) media sosial, (tetapi) ia merujuk kepada pedofilia dan perjudian. Jadi ini sedang teliti.
“Namun saya sekali lagi cenderung bahawa ilmu dan kecanggihan tidak boleh lari daripada soal adab dan akhlak,” katanya.
UNDILAH |