SERAMAI 20 penduduk Kampung Dusun Nanding berjaya dipindahkan ke lokasi selamat selepas kawasan tersebut dilanda banjir sedalam kira-kira 0.3 meter pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kes itu pada jam 9.14 pagi.

Beliau memaklumkan, pihaknya tiba di lokasi dan mendapati banjir berlaku di kawasan itu.
“Seramai tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 20 kilometer.
“Trend air semakin menurun di kawasan itu dan keadaan kini terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak Bomba berjaya mengeluarkan kesemua mangsa dengan menggunakan lori dan dibawa ke kawasan selamat.


