IBU bapa perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mengawal penggunaan internet anak-anak dengan mengaktifkan ciri sekatan atau Parental Control pada peranti digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada kandungan tidak sesuai serta mengelakkan penggunaan peranti secara berlebihan.
“Selepas kita memberi fokus kepada peluasan capaian internet dan penggubalan serta pindaan undang-undang agar lebih mantap dan bersedia menghadapi perubahan teknologi, kita kini memberi tumpuan kepada peranan ibu bapa.
“Mesej utama Hari Keselamatan Internet pada tahun ini adalah Parents Take Control. Ibu bapa perlu mengaktifkan sekatan-sekatan dalam peranti dan menghadkan masa penggunaan internet anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang berlangsung di Astaka Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.
Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik menanti pengunjung sempena sambutan HKI 2026 anjuran Kementerian Komunikasi dan diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu.
HKI 2026 menekankan kepentingan membuat pilihan digital yang bijak dalam memanfaatkan teknologi serta kecerdasan buatan (AI), selaras dengan perkembangan pesat landskap digital masa kini.
Menurut Fahmi, selain memberi tumpuan kepada sekolah seperti yang dilaksanakan pada tahun lalu, kerajaan juga akan memperluaskan usaha meningkatkan kesedaran keselamatan internet di peringkat komuniti.
“Pada tahun ini, kita turut melantik antara 100 hingga 150 orang sebagai wira keselamatan internet. Mereka akan dibekalkan maklumat dari semasa ke semasa untuk disampaikan kepada komuniti masing-masing,” katanya.
Beliau menjelaskan, maklumat tersebut merangkumi isu penipuan dalam talian atau scam terkini, modus operandi baharu yang digunakan penjenayah siber, serta sebarang perkembangan dan perubahan berkaitan keselamatan internet.
Sementara itu, beliau turut mengulas isu pendaftaran akaun media sosial oleh ibu bapa bagi kandungan kanak-kanak
“Sekiranya ibu bapa yang membuka akaun dan mengendalikan sepenuhnya akaun itu, kita tidak melihat perkara ini sebagai satu masalah pada ketika ini.
Menurutnya, dalam kes sebegini, bukan kanak-kanak yang mengurus atau memuat naik kandungan, sebaliknya ia dikawal oleh ibu bapa.
“Dalam hal ini, akaun yang dikendalikan oleh ibu bapa adalah lebih selamat dan kurang berisiko berbanding akaun yang diurus sepenuhnya oleh kanak-kanak sendiri. Pesanan kita adalah gunakan internet dengan selamat. Ambil yang baik, buang yang buruk,” katanya.


