Ibu tunggal ditemukan maut dengan kesan kelar pada leher

SEORANG ibu tunggal ditemukan maut dengan kesan kelar pada leher di sebuah rumah di tingkat satu Flat Sri Murni, Sungai Dua di Butterworth petang ini.

Mayat mangsa berusia 41 tahun ditemukan terbaring di atas katil dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan.

Difahamkan, pihak polis menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 1.40 petang selepas jiran mendapati mangsa yang juga seorang ibu tunggal tidak memberikan sebarang tindak balas walaupun pintu rumahnya terbuka, namun pagar jeriji didapati berkunci.

Mangsa dikatakan tinggal di rumah berkenaan bersama anak lelakinya yang berusia 15 tahun dan bekerja menghantar pelajar ke sekolah.

Polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh, termasuk mengenal pasti motif pembunuhan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan, lapor Sinar Harian.

Sementara itu, Pakar Perunding Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor mengesahkan terdapat kesan kelar pada leher mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesan kelar tersebut dipercayai menggunakan senjata tajam pada bahagian leher.

“Tiada kesan pergelutan menunjukkan mangsa berkemungkinan diserang oleh individu yang dikenalinya.

“Kita juga percaya mangsa diserang dari arah belakang, namun bedah siasat akan dijalankan malam ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img