SEORANG ibu bersama anak perempuannya maut selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan di Batu 23, Jalan Labuk, di Sandakan, semalam.
Kanak-kanak berusia tujuh tahun dilaporkan maut di lokasi kejadian, manakala ibunya yang berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, motosikal yang dinaiki dikatakan dalam perjalanan ke arah Beluran.
Setibanya di lokasi kejadian, motosikal tersebut cuba memotong sebuah kenderaan lain dengan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Wira.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata akibat perlanggaran itu, kanak-kanak yang membonceng motosikal maut di tempat kejadian.
“Penunggang motosikal dan pemandu kereta yang turut cedera menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit forensik hospital yang sama untuk proses bedah siasat,” katanya lapor BuletinTV3
George berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


